AM

Kakitangan SUHAKAM Tidak Teruskan Piket, Cuepacs Akan Runding Cari Penyelesaian

10/01/2025 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengadakan rundingan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi mencari penyelesaian terbaik, berkaitan tuntutan dan permasalahan dihadapi kumpulan pekerja suruhanjaya itu. 

Presiden Cuepacs Datuk Dr Adnan Mat dalam kenyataan hari ini memaklumkan setelah Cuepacs mengadakan perbincangan bersama Kesatuan Pekerja-Pekerja SUHAKAM (KPPSHM), mereka bersetuju tidak meneruskan piket yang dijadualkan berlangsung hari ini.

"Menurut maklumat yang diterima, tindakan piket yang dirancang adalah disebabkan beberapa isu berkaitan tuntutan kenaikan gaji dan sistem penilaian prestasi yang berbeza.

“Cuepacs akan membawa perkara ini untuk rundingan bersama dengan SUHAKAM bagi menyelesaikan permasalahan ini secara menyeluruh dan memberi kebaikan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya. 

Adnan berkata, oleh itu, Cuepacs memohon agar Pengerusi SUHAKAM Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan Jabatan Perdana Menteri memberi ruang untuk proses perundingan dijalankan dengan segera bagi mengelakkan isu ini berlarutan tanpa penyelesaian.

Sementara itu, beliau menyeru agar semua warga kerja SUHAKAM terus berkhidmat seperti biasa dan dengan penuh profesionalisme sementara rundingan dapat dijalankan dengan baik dan harmoni.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy