KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Menteri-menteri yang mewakili UMNO bersedia memberikan kerjasama kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan untuk memberikan keterangan berhubung kewujudan dokumen yang membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang berlangsung di Menara Dato Onn.
Beliau berkata UMNO bersyukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan dokumen itu.
“UMNO yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan dokumen tambahan itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan di sini malam ini.
Pada masa sama, beliau berkata UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Asyraf Wajdi berkata UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya untuk mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi ke bawan Yang di-Pertuan Agong.
Pada Isnin lepas, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen mengenai satu perintah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.
-- BERNAMA