PASARAN

Pasaran Getah Diunjur Meningkat Minggu Depan

11/01/2025 10:46 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Pasaran getah diunjur meningkat sedikit minggu depan, menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, kata Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma).

Menurut Margma pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan musim monsun di negara pengeluar getah utama yang mungkin menjejaskan bekalan getah, dijangka memberi sokongan kepada harga.

“Sentimen pasaran berkaitan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, langkah rangsangan China serta perkembangan ketegangan geopolitik global dan petunjuk ekonomi, terutama yang memberi kesan kepada dasar monetari AS akan turut mempengaruhi permintaan terhadap getah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pakar industri Denis Low berpendapat pasaran dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berserta kecenderungan penurunan minggu depan, meneruskan trend minggu lepas yang memperlihatkan aktiviti pembelian sekali-sekala dan tidak ketara.

"Getah kering akan kekal stabil memandangkan pasaran besar China dalam keadaan perlahan menjelang cuti Tahun Baru Cina.

“Sehubungan itu, permintaan terhadap komoditi ini akan kekal pada paras semasa dan dinamik bekalan dan permintaan akan mencapai keseimbangan," katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat sembilan sen kepada 876 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 12.5 sen kepada 676.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy