KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) – Pengarah Kejurulatihan Akademi badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky mengakui keadaan pemain beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang tidak cukup cergas menjadi punca mereka tersingkir awal di Terbuka Malaysia 2025.
Bagaimanapun, beliau berkata beregu yang berada di ranking keenam itu tetap mempunyai keinginan untuk memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.
“Sejujurnya, saya lihat Pearly-Thinaah mereka tidak cergas mungkin tidak cukup tidur atau apa keadaannya, kami tidak pasti. Perkara itu kita dapat lihat daripada muka dan bahasa badan mereka waktu kejohanan.
“Tetapi apa yang saya nampak mereka masih ada keinginan untuk beraksi dengan baik pada kejohanan ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.
Pearly-Thinaah tersingkir awal di Terbuka Malaysia 2025 selepas tumpas di tangan gandingan baharu dari Indonesia Siti Fadia Silva Ramadhanti-Lanny Tria Mayasari dalam aksi tiga set, 21-19, 14-21, 13-21.
Rexy berharap pasangan negara itu dapat kembali cergas dengan menggunakan baki masa yang ada dengan sebaiknya sebelum turun beraksi di Terbuka India di New Delhi, minggu hadapan.
Menurut beliau, barisan kejurulatihan beregu wanita diketuai Rosman Razak akan membantu mereka dalam melakukan analisis untuk mengembalikan momentum selepas persembahan hambar sebelum ini.
-- BERNAMA