JENAYAH & MAHKAMAH

Op Loader: Tiga Suspek Disambung Reman

12/01/2025 08:14 PM

PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambung reman dua pemilik syarikat dan seorang kakitangan agensi sebuah kementerian kerana terbabit dalam rasuah berhubung surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP).

Menurut sumber, perintah reman selama tiga hari sehingga 15 Jan terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya Syahrul Syazly Md Sain selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi, sebaik tempoh reman asal terhadap suspek tamat hari ini.

Ketiga-tiga suspek sebelum ini antara lapan individu yang ditahan Bahagian Perisikan SPRM menerusi Op Loader di sekitar Lembah Klang dan Melaka, Rabu lepas.

Bagi mengeluarkan surat tawaran kelulusan LKP berkenaan, pegawai agensi itu dipercayai bersekongkol dengan syarikat yang bertindak menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank selain mengurus proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom.

"Berdasarkan risikan, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kenderaan dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit," menurut sumber.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy