AM

China Ikut Rapat Situasi Banjir Di Malaysia - Duta

12/01/2025 08:58 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama) -- Kedutaan China di Malaysia sentiasa mengikuti rapat situasi banjir di negara ini dan aktif mencari cara untuk membantu penduduk yang terjejas bencana itu.

Duta Besarnya Ouyang Yujing berkata saling menawarkan sokongan dan bantuan pada waktu masing-masing menghadapi kesukaran merupakan nilai serta matlamat yang dikongsi bersama dalam kedua-dua tamadun Islam dan China.  

“Sejak beberapa tahun ini, Kedutaan China telah bekerjasama dengan jabatan dan pertubuhan awam di Malaysia untuk melakukan aktiviti kebajikan.

“Yayasan Ikram Malaysia adalah satu daripada NGO (badan bukan kerajaan) Islam yang berpengaruh dan telah menjadi rakan kerjasama penting kepada kedutaan sejak sekian lama dan kami sering bekerjasama dalam pelbagai inisiatif,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Kemanusiaan Kepada Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa di sini hari ini.  

Dalam program itu, kedutaan tersebut telah menyampaikan keseluruhan berjumlah RM50,000 menerusi yayasan berkenaan bagi membantu 500 mangsa banjir baru-baru ini di Pulau Rusa, dengan setiap orang menerima antaranya tuala, bantal, selimut dan tilam (toto).  

“Peribahasa Melayu ada menyebut ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’, ia sama dengan peribahasa Cina yang bermaksud apabila seseorang dalam kesusahan, pertolongan datang dari semua arah.

“Marilah kita bekerjasama dalam menghadapi waktu sukar ini, bersama menyumbang lebih banyak kepada komuniti China-Malaysia dan mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy