DUNIA

Biden Umum Sekatan Eksport Teknologi Ai Buatan AS

13/01/2025 10:16 PM

WASHINGTON, 13 Jan (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan sekatan eksport baharu ke atas teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk cip dan model AI yang digunakan dalam perisian, lapor agensi berita Jerman dpa.

Sekumpulan 120 negara rakan kongsi akan dikecualikan daripada sekatan itu yang masih boleh berubah berdasarkan pandangan pakar serta pihak industri,  diumumkan hanya seminggu sebelum Biden melepaskan jawatan presiden

AS merupakan peneraju dunia dalam pembangunan AI dan cip yang diperlukan untuk teknologi itu, menurut Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo kepada pemberita, sambil menambah yang sekatan eksport itu bertujuan mengekalkan kedudukan berkenaan.

Teknologi AI buatan AS boleh digunakan oleh negara pesaing untuk simulasi nuklear, pembangunan senjata biologi dan memperkuat ketenteraan mereka, Raimondo memberi amaran.

Dengan langkah baharu ini, pentadbiran Biden ingin memastikan yang pihak lawan AS tidak memperoleh teknologi berkenaan, sambil membenarkan negara rakan kongsi mendapat manfaat, katanya.

Kerajaan AS sebelum ini menyekat eksport cip AI ke China, satu langkah yang memberi kesan kepada syarikat AS, Nvidia, yang merupakan peneraju dalam pembuatan cip AI.

Sistem cip Nvidia digunakan di seluruh dunia untuk melatih pengguna aplikasi yang menggunakan kecerdasan buatan. Gergasi teknologi seperti Google dan Meta Group menggunakannya untuk mengisi keseluruhan pusat data mereka – malah syarikat pemula AI seperti OpenAI, yang mencipta ChatGPT, turut bergantung padanya.

-- BERNAMA-dpa

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy