EKONOMI

Sumbangan Asas Rahmah Menerusi Mykad Diperluaskan Ke Sabah, Sarawak

14/01/2025 11:03 AM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Usaha penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada tahun ini berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada 2024, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Kerajaan akan menyalurkan SARA melalui MyKad secara bulanan masing-masing kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar mulai 15 Jan, 2025 (esok).

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 pada 2024.

Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi Januari hingga Mac 2025 dan mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.

“Mekanisme yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lepas berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” kata kementerian itu.

Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar dengan sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penyaluran SARA melalui MyKad juga adalah secara bersasar dengan mekanisme itu memastikan golongan miskin menerima manfaat dalam bentuk barang asas, termasuk makanan asas.

“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak.

“Kerajaan MADANI komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat,” kata beliau.

Menurut MOF, di bawah program SARA, penerima manfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini lebih 1,200 buah di seluruh negara berbanding 700 kedai pada 2024.

“Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy