KUANTAN, 14 Jan (Bernama) -- Seorang pesara swasta mengalami kerugian lebih RM145,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian hujung tahun lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 63 tahun itu menerima panggilan daripada suspek pada 5 Dis bagi mempromosi barangan elektrik dalam talian dengan dijanjikan komisen pada kadar tertentu.
“Namun, setelah tidak lagi berminat dengan tugasan berkenaan dan ingin menarik diri, suspek meminta mangsa membuat transaksi wang bagi mendapatkan keuntungan dijanjikan.
“Lelaki itu seterusnya membuat 14 transaksi ke 12 akaun bank berbeza menggunakan wang simpanan berjumlah lebih RM145,000 dan mangsa mula berasa ditipu selepas diminta melakukan transaksi lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA