KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Subsidiari Uzma Bhd, Setegap Ventures Petroleum Sdn Bhd (SVP), telah menerima sambungan kontrak bernilai RM100 juta bagi penyediaan tiub bergelung dan perkhidmatan daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.
Uzma melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata lanjutan setahun itu berkuat kuasa 1 Dis 2024 sehingga 30 Nov 2025.
Skop kerja merangkumi pembekalan peralatan dan perkhidmatan tiub bergelung untuk medan Petronas Carigali di luar pesisir Malaysia Timur.
Kontrak itu sebelum ini diperoleh pada 20 Nov 2015. Sambungan kontrak pertama dan kedua diberikan masing-masing pada 24 Nov 2020 dan 7 Dis 2022.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan serta aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, dan seterusnya sehingga tamat kontrak,” kata Uzma.
-- BERNAMA