DUNIA

Setiausaha Agung ASEAN Seru Kerjasama Erat Dan Pembiayaan Mampan Di Bengkel SDG

14/01/2025 02:43 PM

JAKARTA, 14 Jan (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menyeru kerjasama lebih erat dan pembiayaan mampan dalam usaha menangani kerumitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) semasa Bengkel Pembangunan Mampan ASEAN 2025 pada Isnin.  

Berucap di Universiti Sunway, Selangor, beliau menekankan keperluan untuk menjalin kerjasama jangka panjang antara kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan institusi akademik bagi menghasilkan penyelesaian inovatif untuk mencapai SDG.  

Acara yang dianjurkan oleh Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDSN) itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan utama bagi membincangkan strategi memajukan SDG dan Perjanjian Paris.  

"Saya mengajak SDSN untuk bekerjasama dengan ASEAN dan pusat-pusat kemampanannya, seperti Pusat Kajian dan Dialog Pembangunan Mampan ASEAN bagi mencari penyelesaian sinergi untuk merealisasikan SDG," kata Kao.  

Dalam teks ucapan yang disediakan oleh Sekretariat ASEAN, beliau menyuarakan keyakinan bahawa rangkaian global dan kepakaran luas SDSN mampu menjadi aset penting dalam perjalanan ASEAN ke arah kemampanan.  

Beliau turut menekankan keperluan pembiayaan mampan dengan menyeru penggemblengan sumber melalui kaedah inovatif seperti bon hijau, pembiayaan gabungan dan pelaburan impak, di samping menggalakkan penglibatan aktif sektor swasta dan organisasi dermawan.  

Kao juga mengulas isu kekurangan data dengan menekankan kepentingan memperkukuh pengumpulan, analisis dan penyebaran data untuk menyokong pembuatan keputusan berasaskan data dalam Komuniti ASEAN.  

"Walaupun usaha ini memerlukan sumber yang besar, mengisi jurang data ini adalah penting bagi memastikan pembangunan yang berkesan dan bersasar," katanya.  

Beliau menegaskan bahawa komitmen ASEAN terhadap pembangunan mampan kekal utuh, sambil menyatakan bahawa keupayaan kolektif untuk mengatasi cabaran dan mencapai SDG akan membuka jalan ke arah masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan untuk semua.  

-- BERNAMA  

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy