SUKAN

Jun Hao Kejutkan Wakil China Di Terbuka India 2025

14/01/2025 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao turun dengan aksi meyakinkan apabila berjaya menundukkan pilihan kelima kejohanan dari China Li Shi Feng di Terbuka India hari ini.

Dalam perlawanan di Stadium Tertutup KD Jadhav, New Delhi, Jun Hao yang menghuni rangking ke-28 dunia tewas set pertama 18-21 sebelum bangkit pada set kedua 21-17 dan melengkapkan kemenangan 21-17 pada set ketiga untuk mara ke pusingan kedua.

Wakil negara berusia 25 tahun itu dijadualkan berdepan Weng Hong Yang dari China, yang mendapat kemenangan percuma selepas S Kidambi menarik diri.

Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengetepikan rakan senegara Tan Wee Kiong-Nur Mohd Azriyn Ayub 21-16, 21-16.

Sementara itu, beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyingkirkan wakil Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan 21-15, 21-16 untuk mara ke pusingan kedua.

Pasangan ketiga dunia itu akan berdepan sama ada juara Terbuka Malaysia 2025 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran atau Ng Tsz Yau-Tang Chun Man dari Hong Kong yang akan turun ke gelanggang esok.

Dalam pada itu, Malaysia telah mengesahkan tempat di suku akhir Terbuka India apabila dua beregu lelaki negara Roy King-Wan Muhammad Arif dan Sze Fei-Nur Izzuddin akan membuat perhitungan pada pusingan kedua.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tersingkir awal selepas tewas kepada wakil tuan rumah Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy 23-21, 19-21, 21-16.

Turut kecundang pasangan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tunduk kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-18, 21-15.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy