DUNGUN, 14 Jan (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 20 Feb depan sebagai tarikh pendakwaan semula terhadap pemandu wanita yan didakwa atas tiga pertuduhan membunuh tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam kemalangan pada 9 Okt tahun lepas.
Majistret Nur Amirah Fatihah Osman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohona pihak pendakwaan berdasarkan laporan psikatri Norizan Ismail, 50, yang diterima dari Hospital Permai, Johor.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman dalam pengurusan kes bagi sebutan laporan psikatri Norizan, yang diwakili peguam Norhabibah Norulalzahar, berkata pihaknya percaya wanita itu layak untuk dibicarakan dan memberi pengakuan di mahkamah.
“Laporan psikatri tertuduh telah diterima dari Hospital Permai, Johor Bharu. Dengan izin Puan, bagi kes ini saya percaya tertuduh layak dibicarakan dan memberi pengakuan.
“Oleh itu, pihak pendakwaan pohon satu tarikh untuk izin dakwa dan nota taklimat serta satu tarikh untuk izin dakwa untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu,” katanya.
Pada 15 Okt 2024, ibu kepada tiga anak itu didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Jamaludin, 20; di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun pada 7.35 malam.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum tidak kurang 12 sebatan.
Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Negeri Azizan Abdullah yang mengendalikan kes ketika itu memohon agar wanita itu dihantar untuk penilaian mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah disebabkan tingkah laku ditunjukkan tertuduh sepanjang prosiding berlangsung.
Dalam kejadian pada 9 Okt lepas, wanita itu yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.
Selain tiga yang maut, rempuhan dari arah belakang itu juga menyebabkan seorang lagi mangsa Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, yang ketika itu berusia 20 tahun, cedera.
-- BERNAMA