JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Maut Kemalangan Empat Kenderaan Di Lebuhraya PLUS Di Rembau

15/01/2025 04:23 PM

REMBAU, 15 Jan (Bernama) -- Tiga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 226.5 Lebuhraya PLUS Senawang-Ayer Keroh arah utara, di sini yang dipercayai berpunca daripada lori hilang kawalan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau Supt Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata dalam kejadian pada 5.40 pagi itu, pemandu lori Mohd Esa Daharin, 73, dan kelindan warga Bangladesh MD Usuf Ali, 44, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala. 

Sementara pelajar kolej Terence Ng, 21, yang merupakan penumpang kereta Honda disahkan meninggal dunia di Hospital Rembau. 

"Lori membawa muatan tanah dan bunga dari arah Ayer Keroh, Melaka ke Senawang, Negeri Sembilan dipercayai telah hilang kawalan menyebabkannya melanggar besi penghadang kanan jalan sebelum terbabas ke kiri jalan.

"Pemandu kereta Honda di belakang dipercayai tidak sempat mengelak telah melanggar lori itu diikuti kereta BMW dan Toyota Vios secara berturutan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Shaik Abd Kadar berkata kemalangan juga menyebabkan lima mangsa cedera parah termasuk kelindan lori warga Bangladesh, pemandu dan dua penumpang kereta Honda serta pemandu BMW. 

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy