ALOR SETAR, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap momentum kerja yang telah dicapai bagi projek milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Langkawi terus dipertingkat supaya dapat disiapkan tepat atau lebih awal daripada jadual ditetapkan.
KKR dalam kenyataan hari ini memaklumkan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan telah turun padang meninjau status kemajuan kedua-dua projek iaitu pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha (HSM) dan kuarters KKM.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi menyiapkan projek pembinaan bangunan tambahan HSM dengan kos sebanyak RM425 juta," menurut kenyataan itu.
KKR memaklumkan pembinaan bangunan tambahan itu akan meningkatkan keupayaan dan kapasiti perkhidmatan kepakaran bagi mengurangkan kebergantungan dan rujukan pesakit ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini atau hospital utama lain.
Bangunan tambahan itu akan meningkatkan bilangan katil daripada 110 kepada 330, selari dengan peningkatan penduduk Langkawi serta pertambahan pelancong domestik dan antarabangsa.
"Skop projek ini juga melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat dan kuarters kediaman petugas.
"Setakat 15 Dis 2024, projek ini telah mencapai kemajuan 37.95 peratus. Projek yang menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) dan model bangunan bermaklumat (BIM) itu telah dimulakan pada 20 Jan 2022 dan dijadual siap pada 26 Dis 2025," katanya.
Sementara itu, bagi pembinaan Kuarters KKM bernilai RM88.68 juta pula, setakat 15 Dis 2024 projek ini telah mencapai kemajuan sebanyak 58.7 peratus dan dijangka siap pada 27 Dis 2025.
Skop utama projek ialah membina tiga blok Kuarters Pangsa Kelas G mengandungi 180 unit kuarters (termasuk empat unit OKU), satu pondok pengawal, pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad, tiga rumah sampah, selain kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.
-- BERNAMA