JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Ditahan Bantu Siasatan Minta, Terima Rasuah RM1 Juta

16/01/2025 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta. 

Menurut sumber, suapan itu sebagai balasan memberikan kerja-kerja sebagai subkontraktor bagi tender Perkhidmatan Membekal Makanan dan Minuman kepada pekerja bernilai kira-kira RM900 juta.

“Lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira 8 malam tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati dia dipercayai melakukan perbuatan itu pada Ogos 2023 dan wang rasuah dikesan dipindahkan ke akaun milik syarikat suspek,” katanya. 

Sumber itu memaklumkan, suspek juga disyaki mengaku sebagai kontraktor utama bagi tender pembekalan makanan dan minuman selama lima tahun kepada pekerja di sebuah loji penapisan minyak sedangkan tender terbabit tidak wujud.

“Pada masa sama, suspek yang turut menyamar sebagai Datuk ini mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan,” katanya.

Perintah reman terhadap lelaki itu selama lima hari hingga 20 Jan ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas menerima permohonan daripada SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy