EKONOMI

Gangguan Perniagaan Kekal Sebagai Kebimbangan Utama Risiko Perniagaan Di Malaysia Pada 2025

16/01/2025 10:36 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Gangguan dalam perniagaan kekal menjadi kebimbangan utama bagi risiko perniagaan di Malaysia tahun ini, di samping kebakaran dan letupan, serta perubahan dalam perundangan dan peraturan, menurut laporan Allianz Risk Barometer 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, penanggung insurans korporat kumpulan Allianz, Allianz Commercial berkata gangguan perniagaan kekal di kedudukan teratas di Malaysia, mencerminkan gangguan rantaian bekalan yang teruk yang dialami semasa dan selepas pendemik.

“Sebagai contoh, pada tahun lepas Malaysia Airlines mengurangkan kapasiti penerbangan berjadual sebanyak 20 peratus untuk mengurangkan cabaran pascapandemik bagi kembali normal dalam perjalanan udara akibat kelewatan penghantaran pesawat baharu dan kekurangan alat ganti global yang menjejaskan penyelenggaraan kumpulan pesawat semasa mereka,” katanya.

Selain itu, ia berkata sifat kebakaran dan letupan yang merosakkan sering kali menyebabkan tahap gangguan yang tinggi.

Ia berkata kilang yang rosak kadangkala mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina semula dan mendapatkan semula kapasiti pengeluaran secara penuh.

Allianz Commercial juga menyatakan perubahan dalam perundangan dan peraturan boleh mengakibatkan persekitaran operasi perniagaan yang lebih mencabar.

Ia berkata terdapat beberapa perubahan di Malaysia pada tahun lepas, termasuk lesen kawal selia baharu untuk platform media sosial dan firma teknologi, Akta Keselamatan Siber, dan pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi.

Selain itu, Allianz Commercial berkata insiden siber kekal sebagai salah satu risiko utama di Malaysia kerana ia terus meningkat sejajar dengan perkembangan pesat teknologi.

 "Sebanyak lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat yang beroperasi dalam sektor penerbangan, perbankan dan penjagaan kesihatan adalah antara yang terjejas akibat gangguan CrowdStrike global tahun lepas," kata syarikat insurans itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pengunderaitan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd Rafliz Ridzuan berkata gangguan perniagaan berkait rapat dengan kebanyakan risiko utama tahun ini, seperti kebakaran, insiden siber dan bencana alam.

“Gangguan daripada kebakaran boleh menjadi sangat tinggi, kerana ia boleh mengambil masa yang lebih lama untuk pulih berbanding daripada bahaya yang lain, dan kesan kepada pembekal selalunya boleh menjadi besar.

"Memandangkan pergantungan yang semakin meningkat kepada teknologi, insiden siber kekal sebagai risiko tertinggi bagi organisasi dan insiden CrowdStrike sekali lagi menekankan betapa bergantungnya kita semua terhadap sistem teknologi maklumat yang selamat dan boleh dipercayai," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat untuk mewujudkan pelan pengurusan risiko dan rantaian bekalan yang kukuh bagi meningkatkan daya tahan dan bertahan daripada gangguan perniagaan.

Menurut laporan itu, perkembangan pasaran turut muncul sebagai kebimbangan baharu bagi syarikat-syarikat di Malaysia pada 2025 dan berada pada kedudukan kelima dengan bencana alam.

“Negara ini menyaksikan gelombang pelaburan teknologi di rantau ini apabila pemain-pemain baharu, termasuk AirTrunk, Equinix, EdgeConneX, Princeton Digital Group, NEXTDC, dan ST Telemedia Global Data Centres memasuki pasaran.

"Google juga mengumumkan pelaburannya di Malaysia, manakala gergasi teknologi lain seperti Microsoft, Amazon, Nvidia dan Apple mempergiatkan tumpuan mereka pada rantau ini," katanya.

Allianz Risk Barometer merupakan penarafan risiko perniagaan tahunan yang dikeluarkan oleh Allianz Commercial, bersama-sama entiti kumpulan Allianz yang lain.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy