Oleh Yasmin Ahmad Zukiman
LANGKAWI, 16 Jan (Bernama) -- Pengamal media digalakkan untuk menghasilkan laporan berita yang membina selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata laporan berita, termasuk inisiatif menggunakan kenderaan elektrik (EV) untuk pengangkutan rasmi persidangan ASEAN menunjukkan komitmen Malaysia terhadap usaha meningkatkan kemampanan.
“Saya yakin media dan wartawan akan memberikan input berharga kepada kerajaan serta melaporkan semua hasil positif dan baik daripada persidangan ini,” katanya selepas melawat Pusat Media Antarabangsa dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) yang menjadi lokasi utama bagi Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) pada 18 dan 19 Januari ini.
Mengenai peranan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Shamsul Azri merakamkan penghargaan kerajaan terhadap usaha agensi berita nasional itu.
“Kerja yang sangat baik, saya amat menghargai sumbangan Bernama kepada persidangan ini. Teruskan usaha yang baik. Terima kasih daripada Kerajaan Malaysia,” katanya.
Bernama bersedia sepenuhnya melaksanakan tugas penting sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, bermula dengan Permukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata persiapan untuk permukiman itu sudah pun dibuat sejak Disember 2024 untuk memastikan kelancaran dalam mengendalikan kehadiran media tempatan dan asing yang akan membuat liputan acara itu.
Sebagai media rasmi, BERNAMA juga akan memberi liputan menyeluruh di semua platform, termasuk Bernama Wires, Bernama Foto, Bernama TV (Astro 502), Bernama Radio dan Bernama Digital.
“BERNAMA berasa bangga dilantik oleh Kementerian Luar untuk menggalas tugas besar ini. Insya-Allah, dengan pengalaman kami, saya yakin BERNAMA dapat melaksanakan tugas ini dengan sebaik-baiknya,” kata Nur-ul Afida.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025. Lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadualkan berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Malaysia sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA