JOHOR BAHRU, 16 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki yang memandu secara melulu dan berbahaya di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Bertam 2/3 Taman Daya, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan berkata warga tempatan berusia 39 tahun yang membawa kereta Honda Accord berwarna merah itu pada awalnya dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang melakukan rondaan Op Cegah Jenayah di Jalan Austin Perdana 3 pada 11.40 pagi.
Beliau berkata lelaki itu bertindak melarikan diri kira-kira sejauh empat kilometer dengan memandu secara siku-sika (zig zag) setelah diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
"Tindakan lelaki tersebut telah menyebabkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Mazda 3 berdaftar di Singapura, Proton Saga dan Peugeot 408.
"Seorang daripada pemandu kereta yang terlibat mengalami kecederaan ringan di siku kanan dan menerima rawatan di klinik swasta manakala lelaki itu bersama pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata suspek ditahan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan 12.99 gram syabu,13.59 gram heroin, tiga biji pil yaba dan dua biji pil erimin 5.
Menurutnya lelaki itu positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina serta mempunyai 16 rekod lampau kes jenayah dan dadah.
Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama selain Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA