Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak seiring pemulihan pasaran tunai pendasar, dengan jangkaan pemulihan yang berterusan minggu depan.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam julat 1,560 hingga 1,590.
“Indeks penanda aras pulih sedikit selepas penjualan besar-besaran, tetapi kami percaya FBM KLCI harus kekal di atas paras 1,600 untuk meraih kembali momentum.
“Ia dilihat masih berada dalam kawasan terlebih jual, jadi kami menjangka aktiviti pemburuan saham pada harga rendah akan berterusan minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, kontrak Januari 2025 susut 32 mata kepada 1,567.0, Februari 2025 merosot 29.5 mata kepada 1,570.5, Mac 2025 turun 30 mata kepada 1,552.15, dan kontrak Jun 2025 susut 26.5 mata kepada 1,561.5.
Jumlah dagangan meningkat kepada 46,659 lot daripada 30,969 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 44,886 kontrak daripada 42,928 kontrak sebelum itu.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama itu susut 35.69 mata kepada 1,566.72 daripada 1,602.41 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA