AM

Perubatan Gaya Hidup Kunci Kejayaan Penjagaan Kesihatan Berasaskan Nilai – MSLM

18/01/2025 10:38 AM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Perubatan gaya hidup yang menggunakan rawatan terapeutik berasaskan bukti untuk mencegah, merawat dan menangani penyakit kronik dengan mengatasi puncanya menjadi elemen penting dalam kejayaan Penjagaan Kesihatan Berasaskan Nilai (VBHC).

Presiden Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) Dr Siva Poobalasingam berkata perubatan gaya hidup semakin diiktiraf sebagai pendekatan transformatif dalam menangani cabaran penjagaan kesihatan, terutamanya ketika negara beralih kepada sistem VBHC yang mengutamakan hasil pesakit, kemampanan dan penjimatan kos jangka panjang.

“Pendekatan ini selaras dengan langkah Malaysia ke arah model penjagaan kesihatan yang mampan dan berpaksikan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Perubatan gaya hidup merangkumi enam teras iaitu mengamalkan diet berasaskan tumbuhan, melakukan aktiviti fizikal secara berkala, menguruskan tekanan dengan berkesan, tidur yang cukup, mengelakkan bahan berisiko, dan memupuk hubungan sosial.

Teras ini menjadi alat berkesan dalam mengubah pengurusan diabetes daripada sekadar rawatan kepada pencegahan dan pengurangan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni pada Persidangan Perubatan Gaya Hidup Malaysia Keempat baru-baru ini yang menyentuh mengenai keperluan mengguna pakai VBHC.

“VBHC menumpukan kepada nilai berbanding kuantiti, memastikan perbelanjaan penjagaan kesihatan diterjemahkan kepada manfaat kesihatan. Ini selaras dengan penekanan perubatan gaya hidup terhadap pencegahan, kualiti dan akauntabiliti,” kata Dr Siva.

Beliau turut mengulas mengenai kejayaan program perintis perubatan gaya hidup untuk mencegah diabetes di Klinik Kesihatan Seremban 2 yang mengintegrasikan VBHC dan perubatan gaya hidup.

Inisiatif itu telah menunjukkan hasil memberangsangkan dalam mengurangkan prevalens dan keterukan diabetes dan ia wajar diperluas ke seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Siva mengumumkan kerjasama MSLM dengan Benson-Henry Institute for Mind Body Medicine yang bergabung dengan Harvard Medical School untuk memperkenalkan program 'Stress Management and Resiliency Training (SMART)' di Malaysia - julung kali dilancarkan di luar Amerika Syarikat.

“Program ini menawarkan kepada peserta teknik pengurusan tekanan dan membina daya tahan yang terbukti berkesan sekali gus memacu kemajuan dalam bidang perubatan minda dan badan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384045