DUNIA

Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Bermula Menjelang AMM Di Langkawi

18/01/2025 11:03 AM

Oleh Linda Khoo

LANGKAWI, 18 Jan (Bernama) -- Mesyuarat  Pegawai Kanan ASEAN (SOM) bermula Sabtu (18 Jan) dengan perbincangan mendalam mengenai isu-isu serantau, merangka cadangan dan menyelaraskan pendirian negara-negara anggota ASEAN menjelang mesyuarat peringkat menteri yang dijadualkan keesokan harinya.  

Dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, mesyuarat itu menjadi sesi persediaan penting untuk Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang dijadual berlangsung Ahad.

Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, SOM menjadi platform yang menyediakan asas dialog produktif dan terkoordinasi dalam kalangan Menteri Luar ASEAN.  

Pemimpin SOM dari 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste menghadiri mesyuarat ini.

Myanmar pula diwakili oleh seorang wakil bukan politik.  

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa perbincangan akan memberi tumpuan kepada keutamaan Malaysia semasa mempengerusikan ASEAN pada 2025, yang bertemakan 'Keterangkuman dan Kemampanan'.  

Keutamaan ini termasuk memperkukuh pemusatan ASEAN melalui dialog berterusan dan meningkatkan kepercayaan strategik antara negara-negara.  

“Malaysia juga akan memberi tumpuan kepada meningkatkan perdagangan dan pelaburan ASEAN dengan memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi, dan transformasi digital,” menurut kenyataan itu.  

Kementerian Luar Negeri turut menyatakan bahawa Malaysia akan mengutamakan aspek keterangkuman dan kemampanan dalam usaha membina komuniti serantau dengan matlamat merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup dan menangani isu perubahan iklim.  

SOM merupakan langkah penting dalam menentukan hala tuju dan agenda bagi Pengerusi ASEAN Malaysia pada 2025, sekali gus menjadi persediaan kepada Pemukiman Menteri Luar ASEAN pada Ahad, perhimpunan peringkat menteri pertama di bawah kepengerusian Malaysia.  

Di samping itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari Thailand dan Brunei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi.  

Pada sebelah malam, Mohamad akan menganjurkan majlis makan malam bagi Menteri-Menteri Luar ASEAN, wakil Timor-Leste, Setiausaha Agung ASEAN serta pasangan masing-masing.

-- BERNAMA  

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384052