GENERAL

ASEAN Perlu Bekerjasama Bentuk Masa Depan Pelancongan Lebih Baik - Onn Hafiz

19/01/2025 12:11 AM

JOHOR BAHRU, 18 Jan (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu terus bekerjasama untuk membentuk masa depan, dengan landskap alam semula jadi mengagumkan, kaya dengan warisan budaya dan masyarakat teguh, yang menarik dan memberi inspirasi kepada pengembara dari seluruh dunia.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata usaha ini akan menggambarkan semangat kolaborasi dan perkongsian visi yang mencerminkan ASEAN.

“Justeru, kita dapat membentuk industri pelancongan yang berkembang maju berdasarkan keterangkuman, inovasi dan kemampanan bersama-sama.

“Saya juga ingin menjemput anda untuk menerokai keajaiban Johor, melibatkan diri dalam dialog bermakna dan membawa pulang bukan hanya kenangan, tetapi juga inspirasi untuk memajukan matlamat Pelancongan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana memilih Johor untuk penganjuran forum berprestij ini bertemakan Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow, yang membawa mesej harapan, inovasi dan kemampanan.

“Ia mengingatkan kita tentang tanggungjawab kolektif untuk merintis strategi baharu yang mempromosikan pelancongan sambil memelihara persekitaran semula jadi, menjaga warisan budaya dan meningkatkan taraf komuniti kita. Hal ini selaras dengan sempurna, saya rasa, dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025, iaitu Keterangkuman dan Kemampanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kedatangan delegasi ASEAN ke Johor, negeri yang memiliki daya tarikan tersendiri dan khazanah keindahan alam semula jadi.

“Dengan enam taman negara, pantai yang bersih dan pulau yang mempesonakan di Mersing, Johor ialah syurga kepada pencinta alam semula jadi dan pengembaraan. Johor juga penuh dengan kepelbagaian budaya serta tradisi masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli dan banyak lagi, masing-masing menyumbang kepada kekayaan warisan yang mencerminkan identiti kita,” katanya.

Onn Hafiz berkata banyak juadah tempatan Johor turut menggambarkan kepelbagaian masyarakat di negara itu.

“Saya menjemput anda untuk menikmati hidangan seperti laksa Johor, mi bandung Muar, asam pedas dan kacang pool. Saya jamin, keenakan rasa Johor akan melekat di hati anda apabila pulang nanti,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/en/news.php?id=2384273