Oleh Massita Ahmad, Linda Khoo, Rhoma Ahmad Razali, Yasmin Ahmad Zukiman
LANGKAWI, 19 Jan (Bernama) – Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di bawah kepengerusian Malaysia berakhir hari ini dengan nasihat dikeluarkan kepada Myanmar, penilaian kemajuan Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC), dan tekad untuk memperkukuh kesatuan serta daya tahan ASEAN.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mempengerusikan mesyuarat itu menekankan tumpuan negara terhadap keterangkuman dan kemampanan di bawah kepengerusian ASEAN 2025.
Permukiman yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi ini merupakan mesyuarat pertama peringkat menteri dalam kalendar ASEAN bagi tahun 2025.
Menteri-menteri luar blok itu menasihati Myanmar untuk memberi keutamaan kepada penghentian keganasan di dalam negaranya daripada mengadakan pilihan raya, dan menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) adalah rangka kerja utama untuk menyelesaikan krisis berkenaan.
Mohamad turut memaklumkan pelantikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Tan Sri Othman Hashim sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar.
Beliau berkata: "Kita perlu mencapai penyelesaian yang inklusif dan berkekalan (di Myanmar) yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau."
Para menteri turut menyambut baik kemajuan perundingan mengenai COC Laut China Selatan dan menggesa agar ia diselesaikan dengan segera selaras dengan undang-undang antarabangsa.
"Laut China Selatan mesti kekal aman dan stabil untuk manfaat bersama," tegas menteri-menteri.
Menteri-menteri luar juga mengalu-alukan pelan gencatan senjata terkini dan perjanjian pembebasan tahanan dan tawanan di Gaza.
"Perlindungan ke atas nyawa mereka yang tidak bersalah mesti kekal sebagai keutamaan seiring dengan sokongan kita terhadap usaha-usaha meredakan ketegangan," katanya.
Mengenai keanggotaan penuh ASEAN yang bakal diperoleh Timor-Leste, mereka memuji kemajuan pelaksanaan hala tuju kemasukan Timor-Leste, dan berjanji untuk memberi sokongan dalam soal pembinaan kapasiti.
Permukiman ini berakhir dengan komitmen bersama untuk memperkukuh kesatuan dan daya tahan ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan global.
"ASEAN mesti kekal sebagai pemandu, menentukan hala tuju rantau kita sambil memajukan keamanan dan kemakmuran," kata mereka.
Mohamad menekankan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh rantau ini, termasuk konflik global, ketidakstabilan ekonomi, dan gangguan teknologi.
"Dunia sedang menghadapi pelbagai gangguan, mengingatkan kita akan rapuhnya orde global. ASEAN mesti menyesuaikan diri dan memperkukuh kesatuan serta kepusatannya untuk mengemudi dalam masa-masa sukar ini," katanya.
Beliau menegaskan kepentingan membina daya tahan geoekonomi dan meningkatkan perdagangan serta pelaburan dalam rantau untuk melindungi rantau ini daripada kejutan luar.
"ASEAN mesti sentiasa bersedia menghadapi krisis sambil terus mempromosikan kerjasama yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat," katanya.
Mohamad turut menggariskan keutamaan utama di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan" termasuk keamanan serantau, integrasi ekonomi, dan penerimaan inovasi.
"Kepengerusian kami akan memberi keutamaan kepada dialog dan diplomasi untuk mengekalkan kestabilan serantau sambil memanfaatkan teknologi untuk mengembangkan perkongsian ekonomi ASEAN," katanya.
Malaysia juga menegaskan komitmennya terhadap Visi Komuniti ASEAN 2045, yang akan diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada tahun ini di Kuala Lumpur nanti.
"Visi strategik ini akan menentukan hala tuju masa depan ASEAN, memastikan kemakmuran bersama kita untuk beberapa dekad akan datang," kata Mohamad.
Dengan Malaysia menjadi tuan rumah bagi lebih 300 mesyuarat ASEAN pada tahun 2025, Langkawi menonjolkan dirinya sebagai lokasi bertaraf dunia, mengintegrasikan perniagaan tempatan dalam acara itu.
"Pendekatan inklusif ini memupuk rasa memiliki dalam perjalanan ASEAN dan menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi tempatan," katanya.
-- BERNAMA