AM

Anwar Hadir Ramah Mesra Bersama Rakyat Malaysia Di Belgium

20/01/2025 12:18 AM

Daripada D. Arul Rajoo

BRUSSELS, 19 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra bersama rakyat Malaysia di Belgium.

Majlis yang diadakan sempena lawatan dua hari beliau ke Belgium yang bermula Ahad, dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak dan Presiden Persatuan Malaysia di Belgium Sarala Shambulingam.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mohd Khalid Abbasi dalam ucapannya pada majlis itu berkata terdapat kira-kira 200 rakyat Malaysia bekerja atau belajar di Belgium.

“Satu nama popular yang tidak dapat hadir ialah pemain bola sepak Luqman Hakim Shamsudin yang mempunyai perlawanan malam ini,” katanya.

Luqman Hakim mencipta sejarah bola sepak negara apabila menandatangani kontrak dengan kelab Belgium KV Kortrijk.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384533