GEORGE TOWN, 21 Jan (Bernama) -- Pusat Transformasi Pembuatan HP Malaysia (HPMM) yang baru dilancarkan akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam Sistem Mekanikal Elektrik Mikro (MEM).
Pengarah Urusan HP Inc Malaysia Alex Tan berkata pusat itu juga sejajar dengan pelan hala tuju transformasi industri kerajaan termasuk inisiatif seperti Industry4WRD dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Kemudahan seluas 4,639 kaki persegi ini merupakan visi HP untuk masa depan pembuatan termaju, dikuasakan oleh teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) seperti robotik, automasi dan analitik ramalan.
"Pusat transformasi sedang mengubah cara kami reka bentuk, menghasilkan dan mengoptimumkan pengeluaran bekalan mesin pencetak HP," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pusat itu baru-baru ini.
Beliau berkata kemudahan itu terletak di Batu Kawan, Pulau Pinang, juga akan menjadi tempat latihan untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan dan memupuk kerjasama merentas kerajaan, akademia dan pemain industri yang menyumbang kepada kemajuan industri dan ekonomi Malaysia.
"Di HP, kami kekal komited untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk memacu inovasi, mencipta peluang dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan," tambahnya.
Pengurus besar HPMM Dominic Chew berkata HPMM telah ditubuhkan pada 2016 dan telah menjadi sebahagian daripada ekosistem pembuatan global HP, menyumbang kepada reputasi Malaysia yang semakin meningkat sebagai peneraju dalam pembuatan termaju.
Beliau berkata HPMM telah menjadi asas kepada operasi global HP bukan sahaja untuk skalanya untuk menghasilkan bekalan inkjet (mesin pencetak) ke 175 negara di seluruh dunia tetapi untuk peranannya dalam memajukan teknologi dan mencipta perubahan bermakna.
“Bagaimanapun, apa yang membezakan HPMM ialah pekerja dan hala tujunya. Menerusi 1,200 rakyat tempatan yang berbakat, pekerja HPMM dikendalikan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan.
“Kami komited untuk terus melabur dalam teknologi, bakat dan inisiatif yang memberi impak, ia akan membantu membentuk masa depan lebih cerah dan mampan di Pulau Pinang,” kata Chew.
--BERNAMA