EKONOMI

FSBM Bekerjasama Dengan Syarikat China, Taiwan Lancar Platform Dikuasakan Ai

21/01/2025 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- FSBM Holdings Bhd bekerjasama dengan Synergies Intelligent Systems yang berpangkalan di China dan Zhong Yang Technology Co Ltd dari Taiwan untuk memperkenalkan HMLV.ai, platform dikuasakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pengurusan rantaian bekalan bagi mengubah industri logam rekaan Asia Tenggara.

Platform HMLV.ai bertujuan menangani cabaran bagi perolehan utama, seperti kelajuan dan kos dengan menggunakan algoritma AI termaju untuk menyampaikan sebut harga segera untuk produk-produk High Mix Low Volume (HMLV) iaitu proses menghasilkan kepelbagaian produk yang tinggi dalam kuantiti yang kecil.

Pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian itu, Pengarah Urusan FSBM Pang Kiew Kun berkata Malaysia berada pada keadaan yang mana perubahan adalah penting dan semestinya belajar daripada negara yang berjaya.

"Kita mesti terus belajar daripada yang terbaik, dengan negara-negara seperti China dan Taiwan, terutamanya dalam sektor semikonduktor bagi menjadi peneraju teknologi.

"Memahami bagaimana negara lain menjalankan perniagaan dan misi mereka adalah sangat bernilai. Pengetahuan ini boleh diterjemahkan ke dalam strategi untuk memanfaatkan perniagaan dan pemegang saham kami," katanya.

Beliau berkata kepentingan kerjasama ini dipertingkatkan dengan komitmen Malaysia terhadap AI dan transformasi digital, yang memacu inovasi dengan pelancaran Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan inisiatif lain untuk memajukan keupayaan teknologi.

"NAIO meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam AI dan inovasi digital di ASEAN," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Synergies Intelligent Systems Michael Chang bersetuju dengan pandangan Pang. 

"Rantaian bekalan China adalah yang terbaik. Kami mahu mempelbagaikan dan Malaysia mempunyai hubungan yang kukuh dengan rantaian bekalan China,” kata Chang sambil menambah Thailand dan Vietnam tidak mempunyai tahap kefasihan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris yang sama seperti Malaysia.

Malaysia boleh menjadi hab di mana semua rantaian bekalan dihubungkan dengan AI generatif.

"Ini sudah pun berlaku, kerana banyak kilang menjadi automatik sepenuhnya. Bagi mendapatkan kepimpinan dalam anjakan paradigma rantaian bekalan global Asia Tenggara, Malaysia mesti menunjukkan kekuatan yang sangat besar, yang sebenarnya kita sedang usahakan," katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385154