AM

Pelaksanaan Baucar Buku Madani Secara Dalam Talian Elak Ketirisan - Wong

21/01/2025 08:54 PM

GEORGE TOWN, 21 Jan (Bernama) -- Langkah pemberian dan penebusan inisiatif Baucar Buku MADANI secara dalam talian sepenuhnya bertujuan mengelakkan isu ketirisan yang berlaku sebelum ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata hal ini kerana kementerian mendapati pelajar tidak membeli buku menggunakan baucar berkenaan pada tahun-tahun sebelum 2018, sebaliknya menjualnya kembali dengan harga murah bagi mendapatkan wang tunai.

“Kita tahu ia merupakan masalah dan antara isu ketirisan yang kita ada, maka pada kali ini kita laksanakan 100 peratus secara dalam talian melalui pelantar 'Digital Educational Learning Initiative Malaysia' (DELIMa), anak-anak boleh menebus baucar buku dan membuat pembelian secara dalam talian.

“Kesemua pengusaha buku mempunyai platform atas pelantar DELIMa dan juga Perbadanan Kota Buku bagi penjualan buku kepada anak-anak serta ia diserahkan secara pos, dengan itu kita dapat mencapai tahap ketirisan sifar,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Smart Board di Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang di sini hari ini.

Selain mencungkil minat membaca dalam kalangan pelajar, Wong berkata Baucar Buku MADANI turut memanfaatkan banyak pihak termasuk penulis, penerbit dan pencipta buku sekali gus mewujudkan satu rantaian ekonomi yang amat jelas. 

Beliau berkata Baucar Buku MADANI telah memberi manfaat kepada 3.5 juta pelajar di seluruh negara dengan penebusan bernilai RM287 juta bagi tujuan pembelian buku, setakat 31 Dis lepas.

Sementara itu, Wong berkata tidak berlaku kewujudan isu penolakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 yang diagihkan minggu lepas, oleh mana-mana pihak termasuk ibu bapa atau penjaga setakat ini.

“KPM telah menetapkan satu syarat yang penting, iaitu memastikan bahawa tidak ada penolakan daripada mana-mana pihak bagi pemberian RM150 ini untuk anak-anak kita.

“Pada tahun ini, KPM sekali lagi mencipta sejarah dengan RM791 juta telah pun disalurkan kepada kesemua negeri bagi tujuan pemberian BAP dan sebanyak 100,000 orang akan menerima manfaat,” katanya.

Terdahulu, 13 sekolah yang meliputi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di daerah Timur Laut menerima sumbangan smart board dengan jumlah kos RM221,000.

Ia merupakan inisiatif sumbangan daripada sektor swasta dan bukan swasta kepada sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan Kementerian Pendidikan melalui Garis Panduan Pelaksanaan Sekolah Milik Masyarakat, Garis Panduan Pelibatan Sektor Swasta dan Garis Panduan Penjanaan Dana Masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385283