KOTA BHARU, 21 Jan (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pengkalan Chepa, di sini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan siri jelajah itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi agensi itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian sekali gus mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.
Menurut MCMC, jelajah itu akan diperluas ke seluruh negara bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat, selain penguatkuasaan pelaksanaan pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial, pindaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta perundangan baharu Akta Keselamatan Dalam Talian.
Turut diadakan ceramah mengenai modus operandi penipuan serta langkah pencegahan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, ceramah bertajuk 'Realiti Dunia Dalam Talian' oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, forum Bicara Klik Dengan Bijak dan reruai pameran.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahaya.
-- BERNAMA