KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Peningkatan peruntukan bagi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) kepada RM10 juta pada tahun ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan kesatuan sekerja di negara ini.
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (UPUS) Ismail Ali yang menyifatkan ia sebagai yang tertinggi berkata peningkatan itu sekali gus dapat melahirkan pemimpin berkualiti pada masa depan.
“PHEKS yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyediakan platform penting bagi kesatuan sekerja untuk meningkatkan tahap kemahiran kepimpinan dan pengetahuan anggota melalui program latihan, pendidikan, kajian pergerakan kesatuan sekerja serta pembelian peralatan teknologi maklumat.
“UPUS menyambut baik usaha KESUMA dalam meningkatkan peruntukan untuk kluster Latihan dan Program Pendidikan daripada RM20,000 kepada RM30,000. Langkah ini amat bermakna bagi kesatuan sekerja untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi sekali gus memperkuat lagi kedudukan dan suara pekerja dalam industri,” katanya dalam kenyataan.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Fouzi Singon dalam kenyataan pula berkata kesatuan itu akan memanfaatkan peruntukan KESUMA dengan meningkatkan latihan kepimpinan serta memberikan taklimat merekrut ahli baharu bagi membantu JHEKS mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada satu juta ahli kesatuan sekerja.
"NUTP akan memfokuskan pelaksanaan kajian berkaitan penyertaan golongan muda dalam kesatuan sekerja serta lain-lain kajian yang berkaitan dengan pembangunan kesatuan," katanya.
Pada Isnin lepas, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kerajaan meningkatkan peruntukan bagi PHEKS kepada RM10 juta pada tahun ini bertujuan memperkasakan pergerakan kesatuan sekerja melalui peningkatan latihan kemahiran serta pengadaptasian penggunaan teknologi.
Sementara itu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memuji KESUMA kerana memperuntukkan RM9 juta bagi program latihan pentauliahan koordinator keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH-C).
Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata melalui usaha ini yang disasarkan kepada 10,000 pekerja daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara, menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, terutamanya bagi PKS yang mempunyai sumber terhad.
"Dengan merapatkan jurang ini, program latihan OSH-C secara percuma akan memperkasakan PKS untuk melindungi tenaga kerja dan memupuk budaya keselamatan dan pencegahan.
"Sistem OSH yang dilaksanakan dengan baik bukan hanya menunjukkan komitmen syarikat terhadap kebajikan petugas, tetapi juga sejajar dengan standard global dan jangkaan pihak berkepentingan.
"Program latihan ini akan membolehkan PKS memperkukuh kelayakan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), meningkatkan reputasi mereka dan menambah baik akses kepada pasaran yang mengutamakan amalan beretika dan mampan," katanya dalam kenyataan.
Semalam, Sim berkata KESUMA akan menyediakan latihan pentaulihan koordinator OSC percuma kepada 10,000 pekerja daripada sektor PKS, menerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang melibatkan peruntukan kira-kira RM9 juta.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) Loh Hang Pai menerusi kenyataan berkata program percuma OSH-C itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap majikan dan pekerja dalam menangani isu dan masalah berkaitan kemalangan dan bencana di tempat kerja.
Kesatuan sekerja majikan tunggal yang mewakili syarikat perladangan di Malaysia itu turut menyifatkan pengumuman berkenaan sebagai pemangkin kepada program sedia ada dan program selanjutnya untuk menjamin keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja di seluruh negara.
“Berdasarkan kepada pepatah ‘sudah terhantuk baru tengadah’, adalah tidak terlewat jika semua majikan dapat mengambil kesempatan dan memanfaatkan peluang untuk mengikuti program positif ini bagi melatih pekerja-pekerja mereka dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi tujuan faedah jangka pendek dan panjang.
“Hal ini amatlah penting bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan di tempat kerja dan seterusnya dapat mengelakkan daripada hilangnya tahap pengeluaran dan tempoh masa bekerja,” katanya.
-- BERNAMA