Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal negatif pada tengah hari berikutan aktiviti pengambilan untung berterusan selepas kenaikan baru-baru ini, kata seorang penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.90 mata kepada 1,579.90 daripada paras penutup 1,587.80 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 1.28 mata kepada 1,586.52, dan turun naik antara paras 1,576.92 dan 1,586.52 sepanjang sesi dagangan pagi.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 648 berbanding 213 manakala 398 kaunter tidak berubah, 1,138 tidak diniagakan dan 83 digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.99 bilion saham bernilai RM1.32 bilion.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pemain pasaran memberi reaksi terhadap pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai pelaburan sektor swasta sehingga US$500 bilion dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan projek Stargate.
"Selepas Trump mengumumkan projek Stargate, pelabur merasa teruja dengan pasaran saham AI, mencetuskan pengambilan untung di sini selepas kenaikan baru-baru ini," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan IHH Healthcare turun dua sen setiap satu kepada RM4.38 dan RM7.16, Tenaga Nasional susut enam sen kepada RM13.82, Maybank berkurangan enam sen kepada RM10.30 dan CIMB jatuh lima sen kepada RM8.01.
Dalam kalangan saham cergas, Oriental Kopi Holdings meningkat 45 sen kepada 89 sen, Harvest Miracle Capital menambah setengah sen kepada 18 sen, EA Holdings dan Gamuda kedua-duanya tidak berubah masing-masing pada setengah sen dan RM4.35, manakala Pertama Digital turun setengah sen kepada 18.5 sen.
Di keseluruhan pasaran, Indeks FBM Emas susut 61.64 mata kepada 12,097.93, Indeks FBMT 100 berkurangan 56.68 mata kepada 11,785.14, Indeks FBM Emas Shariah turun 68.66 mata kepada 11,966.64 mata, Indeks FBM ACE jatuh 28.24 mata kepada 5,210.35 dan FBM 70 Index berkurangan 78.21 mata kepada 18,048.59.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 8.20 mata kepada 846.82, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 56.38 mata kepada 18,889.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perusahaan turun 1.07 mata kepada 169.14 dan Indeks Perladangan jatuh 25.68 mata kepada 7,396.02.
-- BERNAMA