AM

Projek Pembangunan Ipoh Sentral Bermula Enam Bulan Lagi

23/01/2025 02:46 PM

IPOH, 23 Jan (Bernama) -- Pembangunan Ipoh Sentral di kawasan seluas 27.11 hektar akan dimulakan dalam tempoh enam bulan lagi dengan fasa pertama projek itu melibatkan landskap, penambahbaikan serta pengekalan elemen warisan dan budaya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata fasa pertama projek yang berorientasikan transit (TOD) itu dijangka mengambil masa dua tahun dengan peringkat awal melibatkan proses mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.

“Ingin saya tegaskan di sini rumah-rumah ibadat tidak akan terjejas malah akan ditambah baik, elemen-elemen sejarah tidak akan diusik serta dipulihara serta sebuah masjid akan dibina di kawasan ini,” katanya selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Cadangan Pembangunan Ipoh Sentral di sini hari ini.

MOA itu dimeterai antara Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB) dan Country Annexe Sdn. Bhd. (CASB), anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Menandatangani perjanjian itu bagi pihak CASB ialah Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Datuk Imran Salim manakala ISSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Firdaus Effendy Mokhtar dan turut disaksikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Loke berkata projek yang direalisasikan melalui kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC), kerajaan negeri dan MRCB itu bertujuan mengubah landskap Ipoh dengan menghubungkan ruang kediaman, komersial dan rekreasi bagi mewujudkan pembangunan mampan serta persekitaran yang bersepadu dan berhubung sepenuhnya.

“Ipoh Sentral yang terletak bersebelahan Stesen KTM Ipoh berpotensi mengubah landskap bandar raya ini, menjadikannya lebih efisien, mesra rakyat dan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.26 bilion, ia dijangka membawa manfaat besar kepada ekonomi tempatan dan nasional,” katanya.

Loke memaklumkan fasa kedua projek yang dilaksanakan dengan model kerjasama awam swasta (PPP) melibatkan pembangunan bercampur termasuk pembinaan pangsapuri servis, ruang pejabat dan komersial, hotel dan kemudahan masyarakat serta dijangka mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Beliau berkata sebagai projek TOD, Ipoh Sentral dijangka mengurangkan kesesakan jalan raya, meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.

“Ini sejajar dengan komitmen negara terhadap pembangunan lestari dan agenda perubahan iklim global, pendapatan yang dihasilkan RAC melalui projek ini juga boleh disalurkan semula untuk menaik taraf infrastruktur rel sedia ada, memastikan rakyat mendapat manfaat jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385857