KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Sindiket penyeludupan rokok elektronik (vape) di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), disyaki membayar rasuah harian sehingga ribuan ringgit sehari kepada pegawai penguat kuasa untuk melepaskan lori yang digunakan dalam aktiviti itu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata jumlah rasuah itu bergantung kepada jenis lori yang dilepaskan iaitu RM150 bagi lori satu tan, lori tiga tan (RM300) dan lori lima tan (RM500) manakala bayaran RM750 dikenakan untuk kenderaan lima tan ke atas.
“Kekerapan lori pelbagai jenis itu akan keluar dari FCZ KLIA ialah kira-kira 20 buah lori sehari, dengan anggaran nilai rasuah yang diberikan sekitar RM4,000 hingga RM6,000 sehari,” katanya di sini hari ini.
Azam berkata berdasarkan hasil risikan dan siasatan, SPRM percaya sindiket terbabit aktif menjalankan aktiviti penyeludupan rokok elektrik itu sejak 2023.
Semalam, media melaporkan 14 individu termasuk enam pegawai kastam ditahan dalam Op Airways sekitar KLIA dan Putrajaya, kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan vape.
Siasatan selama tiga bulan mendedahkan vape itu tidak diikrarkan dan tidak mempunyai dokumen sah, sekali gus menyerupai modus operandi ‘kontena terbang’.
Semua suspek yang ditahan kini direman antara empat hingga lima hari bagi membantu siasatan, kecuali seorang pengarah syarikat yang dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Azam berkata pada serbuan tersebut, rampasan dan sitaan vape telah dibuat selain komputer, telefon bimbit, barangan berjenama dan wang tunai dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM17,954,459.
“Buat masa ini, siasatan baru sahaja bermula dan masih dalam tindakan untuk mengenal pasti suspek lain serta penglibatan mereka dalam aktiviti sindiket penyeludupan tersebut,” katanya.
-- BERNAMA