AM

DBKL Urus Terus Lesen Bazar Ramadan Beri Hasil Baik Kepada Penjaja - Dr Zaliha

23/01/2025 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani rungutan mengenai harga dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan.

“Pendekatan baharu yang kita laksanakan adalah apabila DBKL mengambil tanggungjawab itu dalam dua perkara iaitu pemberian lesen dan penyelenggaraan. Apabila kita laksanakan itu, ia memenuhi keperluan sesiapa yang ingin berniaga.

“Dalam pendekatan baharu ini juga kita berikan harga berpatutan. Contohnya, bazar itu kita beri harga untuk sewaan RM500 sahaja. Maksudnya dalam sehari hanya RM16 sahaja (kadar sewa). Sebelum ini aduan mengatakan ada (penjaja) yang memberikan sampai RM20,000, tapi tak dapat tapak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Dr Zaliha berkata menerusi inisiatif itu juga DBKL akan menjalinkan kerjasama dengan badan korporat dalam memastikan pengoperasian bazar lebih tersusun dan seragam.

Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif bandar pintar di bawah payung CHASE (Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam) mendapat sambutan baik warga Wilayah Persekutuan.

“Kita nampak apa yang kita laksanakan dengan visi CHASE ini mendapat sambutan baik daripada warga Wilayah. Contohnya, bila kita kait dengan (inisiatif) kebun komuniti, kita nampak ada warga yang datang dan mahu di kawasan mereka kita laksanakan juga. Ini menunjukkan satu sambutan baik,” katanya.

CHASE City iaitu visi menjadikan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan sebagai CHASE yakni Clean City (bandar bersih), Healthy City (bandar sihat), Advanced City (bandar maju), Safe City (bandar selamat) dan Eco Friendly City (bandar mesra alam).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386146