POLITIK

Pemilihan Kepimpinan Pusat PKR Pada 24 Mei

26/01/2025 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan akan dilaksanakan pada 24 Mei depan.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.

Beliau berkata perkara itu diputuskan MPP yang bermesyuarat hari ini setelah meneliti beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berkait proses pemilihan Cabang dan Pusat bagi sesi 2025-2028.

“MPP juga telah diberi taklimat proses pemutihan keanggotaan PKR yang sedang berjalan, manakala MPP juga dimaklumkan berkenaan proses pengesahan keanggotaan, pendaftaran mengundi untuk Pemilihan 2025 serta sistem pembayaran bagi yuran keanggotaan akan dimulakan pada 1 Feb dan berakhir 16 Mac yang akan diurus kendali oleh Pejabat Setiausaha Agung Keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah berkata pencalonan jawatan-jawatan Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang ditetapkan pada 14 hingga 16 Mac, manakala pencalonan jawatan-jawatan Majlis Pimpinan Pusat, Wanita Pusat dan Angkatan Muda Keadilan Pusat pula pada 3 hingga 4 Mei nanti.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386914