JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Dua Beradik Lemas Di Bachok Ditemui, Operasi SAR Tamat

28/01/2025 01:46 PM

KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik yang lemas di tali air Kampung Kubang Telaga, Bachok, petang semalam, berakhir dengan penemuan mayat Muhammad Asadullah Zehan, 11, pagi tadi.

Komander Operasi Kanan Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata mayat mangsa ditemukan pada 9.40 pagi  kira-kira enam meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Beliau berkata mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa selepas operasi selaman dijalankan bermula 9.29 pagi.

"Operasi ini melibatkan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, PPDA Pengkalan Chepa, Pengkalan Kubor dan Machang dengan bantuan pelbagai jentera termasuk bot,” katanya.

Semalam, abang mangsa, Muhamad Amirul Mukminin, 17, ditemukan pada 8.25 malam oleh pasukan PPDA, namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan pada 9.19 malam.

Mayat kedua-dua beradik tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387369