AM

Kedai Bunga, Hiasan Rumah Tumpuan Saat Akhir Menjelang Sambutan Tahun Baharu Cina

28/01/2025 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kedai bunga, hiasan rumah dan barangan dapur antara yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya masyarakat Cina untuk membeli keperluan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, esok. 

Tinjauan Bernama mendapati premis berkenaan dipenuhi pelanggan yang ingin mendapatkan barangan keperluan masing-masing di saat akhir. 

Pemilik kedai dekorasi iDecor Home, Chou Foong Meng, 60, berkata seperti biasa kedainya turut menjadi tumpuan pelanggan yang ingin mendapatkan barangan hiasan rumah bagi menceriakan lagi sambutan Tahun Baharu mereka. 

“Minggu ini paling ramai beli barangan dekorasi rumah malah hari ini masih ada yang datang untuk membuat persiapan akhir,” katanya kepada Bernama. 

Chou berkata antara barangan yang menjadi pilihan pelanggan dan paling laris adalah mini tanglung,  pelekat kertas dinding dan bunga.

Pekerja kedai bunga New Flower Market, Nadia Zulkeffly, 31, pula berkata meskipun hari ini merupakan hari terakhir sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, masih ramai pelanggan yang datang ke kedainya untuk membeli bunga.

“Hari ini memang ramai yang datang membeli bunga, dalam minggu ini sahaja tempahan bunga yang kami terima mencecah lima ribu gubahan meliputi semua jenis bunga,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung pasar raya, Chen Kai Lin, 32, mengakui terpaksa keluar rumah seawal 8 pagi untuk membeli keperluan dapur dan pakaian kerana tidak berkesempatan untuk membuat persiapan awal.

“Saya bangun awal hari ini untuk pergi ke pasar beli barangan dapur dan kemudian datang ke sini untuk membeIi sedikit pakaian dan hiasan rumah,” katanya

Chen yang bekerja sendiri berkata dia teruja membuat persiapan Tahun Baharu Cina kali ini kerana akan menyambutnya di rumah baharu.

Bagi pekerja kedai kuih tradisional, Tan Hui Yoon, 40, dia dan keluarga membuat persiapan lebih awal.

“Biasanya barangan seperti kuih memang sudah dibeli seminggu lebih awal sebelum perayaan tapi saat-saat akhir ini memang masih ada yang membeli barang seperti bunga dan pakaian. 

“Keluarga saya masih mengekalkan tradisi makan besar di rumah, jadi dari semalam hingga hari ini ibu saya tidak berhenti membuat persiapan untuk makan besar keluarga,” katanya.

Tan berkata persiapan makan besar adalah momen penting untuk berkumpul dan meraikan Tahun Baharu Cina bersama orang tersayang sekali gus memastikan perayaan itu lebih bermakna.

Mengikut kalendar lunar Tahun Baharu Cina disambut esok merupakan Tahun Ular Kayu yang membawa harapan baharu termasuk semangat persaudaraan, kejayaan, dan pembaharuan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387526