SUKAN

Piala Dunia T20: Trisha Bantu India Dengan Century Pertama

28/01/2025 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) – Trisha Gongadi memberikan persembahan cemerlang apabila meraih century pertama pada Piala Dunia Kriket T20 Wanita Bawah 19 Tahun (B-19) ketika membantu juara bertahan India menewaskan Scotland dengan 150 larian di Bayuemas Oval, Klang, hari ini.

Dalam perlawanan Super Six Kumpulan 1, pemenang edisi sulung mencatatkan 208 larian, kehilangan satu wiket, manakala pasukan Scotland disingkirkan dalam 14.0 overs dengan 58 larian, menurut laman web kejohanan.

Kemenangan tersebut didorong oleh gandingan pembukaan sensasi antara G. Kamalini dan Trisha dengan duet berkenaan mencipta rekod baharu untuk skor gandingan tertinggi dalam Piala Dunia 2025 dengan 147 larian.

Trisha kemudian muncul pemain pertama yang mencatatkan century dalam kejohanan ini dengan 110 larian (tanpa kalah) dan turut menumbangkan tiga wiket dalam innings kedua untuk dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Rekod jumlah tertinggi dalam Piala Dunia Wanita T20 B-19 adalah kemenangan India dengan 219 larian menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada edisi 2023.

Terdahulu, Bangladesh menewaskan West Indies dengan 10 wiket untuk menduduki tempat ketiga dengan empat mata, di belakang India (8 mata) dan Australia (6 mata).

Sementara itu, Afrika Selatan menduduki tempat teratas dalam Kumpulan 2 selepas perlawanan mereka menentang Amerika Syarikat (USA) dibatalkan akibat hujan di Padang Kriket Borneo, Sarawak.

Afrika Selatan (7 mata) dan England (6 mata) melangkah ke separuh akhir sebagai dua pasukan teratas dalam kumpulan, manakala kedudukan terakhir Kumpulan 1 akan diketahui selepas perlawanan esok, walaupun India dan Australia telahpun mengesahkan tempat mereka di separuh akhir.

Nigeria bakal berdepan dengan Ireland, manakala Australia akan bertemu Sri Lanka di Padang Kriket UKM, Bangi.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387534