KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama malam ini dilaporkan lancar dan terkawal, meskipun pergerakan trafik perlahan ke arah Selatan dan Pantai Timur akibat peningkatan jumlah kenderaan.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia ketika dihubungi Bernama memaklumkan setakat 11.15 malam ini, kenderaan bergerak perlahan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari Gombak menghala ke Genting Sempah (KM24.5-KM36.9), Bukit Tinggi (KM44.2-KM45.3) dan menghala ke Lentang (KM50.00-KM52.4) akibat peningkatan jumlah kenderaan.
Sementara itu, di arah selatan pula, kenderaan dilaporkan bergerak perlahan di Tambak Johor dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands di Singapura menghala ke CIQ Bangunan Sultan Iskandar Johor, ekoran peningkatan jumlah kenderaan yang masuk ke Johor Bharu dari Singapura.
Pergerakan kenderaan turut dilaporkan perlahan di Lebuhraya Utara Selatan E2 arah utara dan di hentian sebelah Simpang Renggam ke Machap.
“Secara keseluruhannya aliran trafik di semua lebuh raya bertol melibatkan Lebuhraya Utara Selatan, PLUS E1 dan E2 di bahagian Utara, Tengah dan Selatan masih bergerak lancar dan terkawal. Situasi yang sama juga bagi semua lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.
-- BERNAMA