KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Seorang pelajar wanita Malaysia di Hiroshima, Jepun dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke kampus sejak malam Isnin, menurut Malaysian Students’ Association in Japan (MSAJ) pada Rabu.
MSAJ dalam catatan di laman Facebook rasmi memaklumkan Nurin Hannani Hafizi, 21 penuntut institusi pengajian Kure Kosen dikatakan keluar dari kampus dengan hanya membawa beg galas, dompet dan pasport.
“Pihak Kosen telah membuat laporan polis mengenai kehilangan ini,” menurut catatan itu.
MSAJ turut memohon bantuan komuniti untuk menyebarkan maklumat kehilangan Hannani.
Kehilangan pelajar itu turut dikongsi sebuah organisasi dakwah rakyat Malaysia di Jepun, IMAN Jepun menerusi Facebook dan pengguna media sosial.
-- BERNAMA