KUCHING, 30 Jan (Bernama) -- Isu keselamatan kediaman di kawasan lereng bukit akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam masa terdekat, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata perkara itu turut akan dibentangkan kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
"Perlu ada kajian terhadap rumah-rumah di kawasan lereng bukit, dan kami juga berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengambil perhatian terhadap perkara ini."
"Buat masa ini, penduduk kampung yang tinggal di kawasan lereng bukit dinasihatkan supaya berpindah segera jika keadaan rumah tidak selamat untuk diduduki," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Batu Kawa di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri akan menerima bantuan kewangan serta sokongan psikologi.
Fatimah berkata kerajaan Sarawak akan membayar RM10,000 sebagai pampasan kematian bagi setiap individu yang terkorban dalam kejadian itu yang akan diserahkan kepada waris mangsa.
"Ini adalah musibah yang sangat berat untuk ditanggung mereka. Di bawah Jabatan Kebajikan, kita juga menyediakan kaunselor untuk membantu memberi sokongan emosi," katanya.
Dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit pada 2.58 pagi Rabu, lima mangsa terkorban yang dikenali sebagai Sazarena Arabi, 41, Fatimah Dawi, 71, Irsyad Syairah, 16, Nur Raisyah Syahirah, 8, dan Nur Rania Syafiqah, 11.
Kesemua mangsa merupakan ahli dua keluarga yang tinggal bersebelahan di satu lot tanah. Sementara itu, tujuh lagi mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita berusia antara 17 hingga 71 tahun terselamat.
-- BERNAMA