SUKAN

Tunku Mahkota Ismail Sarankan Reformasi Liga-M

30/01/2025 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail menzahirkan pandangannya mengenai situasi Liga Malaysia (Liga-M), termasuk isu keadaan stadium dan padang yang dianggap tidak memuaskan.

Menerusi hantaran di laman X, Pemangku Sultan Johor itu turut menyentuh isu kelewatan pembayaran gaji pemain serta sikap segelintir pengurusan pasukan yang dilihat tidak mengambil berat kebajikan kelab masing-masing.

Baginda juga mengkritik pihak tertentu yang lebih gemar memberi alasan dan mudah menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atas kelemahan sendiri.

“JDT menang, stadium dan padang kurang cantik, pemain pasukan tak dapat gaji, pemain tiada gaji dan tak bersemangat, musim hujan, orang-orang jaga kelab tak peduli dan lain-lain.

“Senang cerita macam ni, kalau rumah jiran kita cantik dan rumah kita tak terurus, gila ke kita nak bakar seluruh kawasan perumahan? Ibarat rumah tak terurus dan tak cantik, ajak orang ramai-ramai duduk di hutan. Sendiri tak bayar gaji salahkan FAM dan MFL,” menurut hantaran Tunku Mahkota Ismail itu.

“Senang cerita macam ini, kalau rumah jiran kita cantik dan rumah kita tak terurus, gila ke kita nak bakar seluruh kawasan perumahan? Ibarat rumah tak terurus dan tak cantik, ajak orang ramai-ramai duduk di hutan. Sendiri tak bayar gaji, salahkan FAM dan MFL,” titah baginda.

Dalam hantaran itu, Tunku Mahkota Ismail turut mencadangkan agar prinsip Financial Fair Play diperkenalkan segera bagi memastikan kestabilan kewangan pasukan, selain menekankan perlunya badan pengadil yang bebas dan tidak berada di bawah pengaruh FAM.

Baginda juga bertitah bahawa selama 11 tahun pelbagai alasan dan teori konspirasi telah dicipta, sambil menggesa perubahan sikap dalam kalangan pengurusan pasukan yang lain.

“Ibarat pasukan Bundesliga (Liga Jerman) semua ajak ramai-ramai boikot liga kerana tak boleh cabar Bayern (Bayern Munich). Mindset is everything,” tulis bekas Presiden FAM itu yang terkenal dengan pengaruhnya dalam arena bola sepak tempatan.

Baru-baru ini, terdapat laporan mendakwa kehadiran penonton di stadium bagi perlawanan Liga-M baru-baru ini mencatat angka yang amat rendah termasuk aksi melibatkan pasukan-pasukan ternama, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan liga bola sepak utama negara itu

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387881