KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKS PA) Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Left Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar dilantik Panglima ATM ke-23 berkuat kuasa hari ini.
Majlis serah terima tugas itu disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Mohd Nizam, 59, mengambil alih jawatan berkenaan daripada Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, yang tamat perkhidmatan pada hari ini.
Terdahulu, Mohd Nizam dinaikkan pangkat kepada Jeneral dalam majlis itu, bagi membolehkan beliau menjawat jawatan berkenaan.
Mohd Nizam yang merupakan seorang pegawai Tentera Darat dinaikkan pangkat ke Left Jen pada 23 Feb tahun lepas dan pernah menjawat jawatan penting antaranya Komandan Kolej Pertahanan Nasional, Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat serta Panglima Briged Infantri ke-2 Tentera Darat.
-- BERNAMA