KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bahawa Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah.
Sebaliknya, Seri Paduka Baginda bertitah Parlimen ialah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah Parlimen ialah dewan perhimpunan paling utama dalam sistem negara yang merupakan gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, menggubal undang-undang serta dan medan semak dan imbang atau check and balance ke atas pentadbiran negara.
“Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.
“Justeru itu, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara yang mempamerkan perubahan dengan sikap lebih sopan sepanjang tempoh persidangan sebelum ini.
“Saya perhatikan, dalam persidangan dewan pada tahun lepas, ahli-ahli dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua.
“Namun begitu, masih ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama. Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut, kerana saya percaya, setiap ahli sedar dan tahu, bagaimana untuk menjaga tingkah laku masing-masing,” titah Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan kepada semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi serta sosial negara.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 18 hari dengan menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama tujuh hari bermula 4 Feb dan diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.
-- BERNAMA