SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan Selangor bersedia berkongsi pengalaman kaedah pertanian dengan negeri-negeri lain bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara sebagai antara langkah strategik mengurangkan kebergantungan kepada import.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia susulan usaha pemodenan proses pertanian termasuk kaedah guna pakai tanah membabitkan tanaman padi di pantai barat Selangor seperti Sekinchan mula membuahkan hasil dan menerima pengiktirafan Kerajaan Persekutuan.
"Meskipun Selangor merupakan nadi ekonomi Malaysia, saya sentiasa tekankan kepentingan keterjaminan makanan.
"Kita harus sentiasa meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian tanpa bergantung sepenuhnya kepada keluasan tanah tetapi kualiti tanah secara mampan dan bukannya jangka masa pendek," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini dilaporkan berkata kerajaan bercadang mengaplikasikan kaedah pertanian dilaksanakan di Sekinchan yang terbukti telah meningkatkan produktiviti pengeluaran padi, di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Perdana Menteri berkata perkara itu, berikutan produktiviti pengeluaran padi di empat negeri berkenaan yang sangat rendah berbanding di Sekinchan.
-- BERNAMA