AM

Thaipusam: Tambang Percuma KTM Komuter Cermin Nilai Inklusif Kerajaan MADANI - Exco

04/02/2025 10:12 PM

SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Langkah memberikan perkhidmatan Komuter KTM secara percuma sempena Thaipusam bukan sahaja menggembirakan masyarakat India, tetapi juga mencerminkan nilai inklusif dan kebersamaan yang diperjuangkan oleh kerajaan MADANI. 

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V. Papparaidu berkata keputusan berkenaan menunjukkan dasar kerajaan MADANI bukan sekadar retorik, tetapi benar-benar menitikberatkan kebajikan rakyat. 

"Dengan memberikan perkhidmatan percuma ini, kerajaan bukan sahaja membantu golongan kurang berkemampuan tetapi juga menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku semasa perayaan besar. 

"Langkah ini juga selari dengan matlamat kelestarian alam sekitar kerana penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas boleh mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan persendirian," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari sempena Thaipusam bermula 10 Feb.

Kemudahan itu ditawarkan kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang, menggunakan mekanisme imbasan keluar melalui pintu automatik (ACG), selain akan beroperasi selama 24 jam bagi tempoh empat hari bermula Ahad.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2389349