KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis usul semalam bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes berkaitan isu dokumen tambahan, membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
AGC dalam kenyataan memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan semua hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Keputusan untuk memfailkan usul ini adalah berasaskan kepada beberapa premis penting, termasuk percanggahan dalam tafsiran undang-undang, terdapat percanggahan pandangan antara keputusan Mahkamah Tinggi dan penghakiman majoriti serta minoriti di Mahkamah Rayuan.
“Perkara ini menimbulkan keperluan untuk mendapatkan kepastian dan undang-undang yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan. Selain itu, kepentingan isu undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan, isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang yang signifikan serta mempunyai kepentingan awam yang wajar dibicarakan dan diputuskan oleh Mahkamah Tertinggi negara,” menurut kenyataan itu.
AGC memaklumkan langkah berkenaan bukan sahaja penting untuk memastikan keadilan, tetapi juga bagi menegakkan prinsip keluhuran Perlembagaan dan undang-undang serta memperjelas tafsiran undang-undang bagi manfaat semua pihak.
Pada 6 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah, kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.
Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri itu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya.
Bagaimanapun Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel itu membantah, dan memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan bekas perdana menteri itu.
-- BERNAMA