KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mengukuh hari ini susulan daripada minat tinggi terhadap komoditi emas global yang dipacu oleh permintaan berterusan daripada bank pusat, kata seorang penganalisis.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran emas mencatatkan paras tertinggi hari ini dan permintaan terhadap komoditi itu terutamanya dilihat dari blok BRICS, giat mengurangkan pergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).
“Selain itu, ugutan Presiden AS Donald Trump untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara BRICS jika mengetepikan dolar AS, meningkatkan keperluan untuk mengumpul stok simpanan jongkong emas,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata peniaga emas dan dana lindung nilai di Barat sedang menyimpan emas manakala di Asia, pembeli beralih kepada emas sebagai pelindung terhadap kesan ekonomi daripada perang perdagangan dan sebagai simpanan nilai yang kekal.
"Dengan BRICS+ mengawal 42 peratus daripada rizab mata wang asing bank pusat global selain beralih ke arah emas, ini bukan sekadar satu lonjakan spekulatif lagi sebaliknya ia merupakan peralihan besar dalam landskap kewangan global," katanya.
Kontrak bulan semerta Februari 2025 meningkat kepada US$2,866.90 setiap auns troy daripada US$2,807.20 setiap auns troy pada Selasa.
Kontrak Mac 2025 naik kepada US$2,877.90 setiap auns troy daripada US$2,819.20 setiap auns troy semalam.
Kontrak April 2025, Mei 2025 dan Jun 2025 kekal stabil kepada US$2,884.90 setiap auns troy daripada US$2,826.20 setiap auns troy.
Jumlah dagangan melonjak kepada 97 lot daripada 34 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 133 kontrak daripada 73 kontrak.
Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 4 Feb, 2025, harga emas fizikal berada pada US$2,843.55 setiap auns troy.
-- BERNAMA