SEPANG, 5 Feb (Bernama) -- Juara dunia MotoGP, Jorge Martin mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan selepas terbabit dalam kemalangan pada hari pertama ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Penunggang Aprilia Racing berusia 27 tahun itu hilang kawalan sebelum tercampak dari jentera baharu Aprilia RS-GP dan tersembam di atas trek dalam insiden mengerikan di Selekoh 2.
Menurut laman web rasmi MotoGP, pelumba dari Sepanyol itu mengalami kesakitan pada tangan dan kaki akibat kemalangan tersebut dan telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Sebelum itu, penunggang itu turut terbabit dalam satu kemalangan di Selekoh 1 dengan masa terbaik hari ini yang dicatatkan adalah 2:01.321 saat pada pusingan kelima.
Dalam pada itu, bekas juara dunia 2021, Fabio Quartararo, mewakili Monster Energy Yamaha MotoGP Team, muncul pelumba terpantas MotoGP apabila mencatatkan masa 1:57.555 saat pada pusingan ke-50 daripada 54 pusingan.
Juara dunia enam kali Marc Marquez yang kini beraksi dengan pasukan baharu Ducati Lenovo Team mencatatkan masa kedua terpantas dengan masa1:57.606 saat diikuti oleh adiknya, Alex Marquez dari Gresini Racing MotoGP dengan masa 1:57.738s.
Bercakap kepada media selepas sesi ujian tersebut, Quartararo, yang lebih mesra dikenali sebagai 'El Diablo', berkata pengalaman menguji motosikal pada ujian shakedown minggu lepas memainkan peranan penting dalam membantunya menduduki carta teratas pada hari ini.
“Bermula dengan ujian shakedown selama dua hari, diikuti dengan dua hari rehat dan kemudian kembali semula hari ini sangat membantu dalam mendapatkan masa pusingan yang baik. Saya rasa kami telah melakukan kerja yang sangat baik,” katanya.
Ujian musim sejuk selama tiga hari ini akan berlangsung sehingga Jumaat ini, sebelum para penunggang dan pasukan bersiap untuk ujian pramusim terakhir di Ujian Rasmi MotoGP Thailand di Litar Antarabangsa Chang pada Rabu dan Khamis depan sebelum perlumbaan musim dibuka di litar yang sama dari 28 Feb hingga 2 Mac.
SIC juga akan menjadi tuan rumah bagi Grand Prix Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini.
KEPUTUSAN 10 TERBAIK:
1. Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP Team) – 1:57.555s
2. Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) – 1:57.606s
3. Alex Marquez (Gresini Racing MotoGP) – 1:57.738s
4. Fermin Aldeguer (Gresini Racing MotoGP) – 1:58.035s
5. Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) – 1:58.114s
6. Joan Mir (Honda HRC Castrol) – 1:58.115s
7. Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) – 1:58.265s
8. Jack Miller (Prima Pramac Yamaha MotoGP) – 1:58.298s
9. Johann Zarco (Castrol Honda LCR) – 1:58.332s
10. Miguel Oliveira (Prima Pramac Yamaha MotoGP) – 1:58.371s
-- BERNAMA