AM

Pelajar TVET PPD Cipta Reka Bentuk Pembinaan Semula Masjid 

06/02/2025 08:49 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 6 Feb ( Bernama) -- Politeknik Port Dickson (PPD) menerusi 14 pelajar jurusan seni bina di bawah bimbingan Centre of Architecture and Technology (CArT) institut itu berjaya menghasilkan reka bentuk pembinaan semula sebuah masjid berusia 20 tahun di Taman Intan Perdana, di Port Dickson.

Pengurus CArT Dr Setiawan Hardono berkata Masjid Al-Ehsaniah akan ditambah baik dengan konsep lebih moden untuk menampung kapasiti 1,600 jemaah berbanding 1,100 sebelum ini, bagi memenuhi keperluan tujuh komuniti taman perumahan berhampiran.

“Projek ini mencerminkan kemahiran dan kreativiti pelajar TVET dalam bidang seni bina serta kejuruteraan bangunan. Projek ini selari dengan Hala Tuju CArT 2025-2030 dalam memperkukuh kemahiran teknikal dan profesional pelajar melalui aplikasi dunia sebenar.

“Projek ini mengambil masa enam bulan, ia dapat mengasah kemahiran teknikal pelajar dalam seni bina dan kejuruteraan bangunan malah memberi pendedahan kepada mereka dalam aspek profesionalisme, komunikasi dengan klien serta pengurusan projek berskala besar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata majlis penyerahan lukisan lengkap reka bentuk masjid dua tingkat itu disempurnakan oleh Pengarah Politeknik Port Dickson Hasan Mohd Sharif kepada Pengerusi Masjid Al-Ehsaniah Md Nordin Ismail di masjid tersebut di sini, hari ini.

Setiawan berkata pihak masjid memaklumkan kos pembinaan semula masjid itu melibatkan kira-kira RM5 juta dijangka bermula tahun ini.

Dalam pada itu, Hasan berkata projek berkenaan membuktikan kualiti dan daya saing graduan TVET PPD dalam menghasilkan reka bentuk berkualiti tinggi.

“Kami sentiasa memberi ruang kepada pelajar untuk menyerlahkan keupayaan mereka dalam projek sebenar sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Ini membuktikan bahawa pelajar TVET dapat memenuhi keperluan industri dan mampu menyumbang kepada masyarakat secara langsung,” katanya.

Beliau berkata projek itu turut menepati aspirasi Dasar TVET Madani yang menekankan pembangunan modal insan berkualiti melahirkan graduan TVET berkemahiran tinggi dalam bidang seni bina dan kejuruteraan.

Hasan berkata penglibatan pelajar TVET dalam projek bernilai tinggi seperti itu dapat memperkukuh kemahiran teknikal serta menonjolkan peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Beliau berkata projek berkenaan turut menyokong tujuh Fokus Utama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) antaranya peningkatan kebolehpasaran graduan, pemerkasaan hubungan industri, serta pembangunan TVET yang lestari dan berimpak tinggi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390091